RABU, 13 OKTOBER 2021
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memutuskan untuk meningkatkan penerbangan masuk ke Sarawak secara berperingkat berkuatkuasa sejak 8 Oktober lepas.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin memaklumkan, JPBNS bekerjasama dengan syarikat penerbangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) termasuk agensi yang lain bagi memperkukuhkan proses penerbangan tersebut dengan mewujudkan lebih banyak aplikasi IT yang mesra pengguna untuk penumpang dan pelancong.
“Kerjasama antara pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAHB, APM, Pejabat Residen dan syarikat penerbangan amat penting bagi memastikan jadual penerbangan yang baharu berjalan lancar sekaligus memudahkan pergerakan penumpang ke Sarawak seiring dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.
“Kami percaya bahawa dengan peningkatan penerbangan baharu ini, syarikat penerbangan akan menawarkan harga tiket penerbangan yang berpatutan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Datuk Lee menegaskan kepada semua penumpang untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun pergerakan antara negeri telah dibenarkan.
Berikut adalah jadual penerbangan baharu untuk lapangan terbang di Sarawak yang telah diluluskan MAVCOM. –EDISI UKAS