Ahli Parlimen Tanjong Manis Serah Bantuan Bekalan Makanan Kepada Tiga Kawasan Di Sarikei

KHAMIS, 14 OKTOBER 2021

SARIKEI : Seramai 80 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Sare, kerubong dan Tanjong Manis telah menerima bantuan bekalan makanan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab pada Rabu.

Sumbangan tersebut telah diserahkan menerusi kakitangan di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis.

Difahamkan, 54 KIR daripada Sare dan Kerubong yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala 26 KIR dari Tanjong Manis.

Bantuan tersebut diharap dapat meringankan bebanan keluarga yang terjejas.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Tanjong Manis akan terus memantau dan meneliti sebarang keperluan asas yang diperlukan oleh rakyat bagi memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

Sementara itu, Ir Yusuf turut berpesan agar penduduk di dalam tempoh PKPD sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta tidak lalai dan leka meskipun rentas daerah dibenarkan tanpa permit untuk mengelak penularan semula wabak COVID-19. – EDISI UKAS