KHAMIS, 14 OKTOBER 2021
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memperkenalkan ‘Social Inclusivity’ menerusi Post COVID Development Strategy 2030 (PCDS 2030) yang dilancarkan pada 22 Julai 2021.
Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, dalam menghasilkan sesuatu inovasi, golongan rakyat yang tinggal di tempat-tempat terpencil harus juga diberikan perhatian supaya golongan ini tidak terpinggir daripada menikmati perkhidmatan kerajaan.
“Pertama, inovasi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat (Innovation as citizen centric problem solver). Ini bererti kalau kita sebagai penjawat awam berhadapan dengan masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah yang lazim, maka peranan kita adalah untuk memikirkan idea yang bukan lazim untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Kedua, inovasi harus dibuat untuk menyelesaikan masalah dalaman sesebuah organisasi seperti “inefficiency” dalam jabatan atau agensi berkenaan. Ini bertujuan untuk meningkatkan efficiency organisasi supaya organisasi boleh bekerja dengan lebih cepat, mesra rakyat, meningkatkan hasil kerajaan, mengurangkan perbelanjaan dan sebagainya,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Penyampaian Anugerah Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2021 bersempena Penutupan Rasmi Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2021 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.
Beliau juga berharap pelbagai idea dan pendekatan baharu yang lebih segar dan kompetitif dapat dihasilkan agar mampu memecahkan tembok-tembok ‘usang’ kaedah konvensional yang telah kita amalkan sekian lama, namun sudah tidak lagi relevan dan merugikan.
Mengulas mengenai penyertaan agensi negeri dan Persekutuan di dalam Program Sambutan Bulan Inovasi 2021, Datuk Amar Jaul menjelaskan ianya amat memberangsangkan, walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.
“Jumlah penyertaan agensi meningkat 100 peratus dari 13 agensi kepada 26 agensi dan begitu juga dengan jumlah program atau aktiviti bulan inovasi turut meningkat 180 perattus dari 15 program kepada 41 program.
“78 peratus daripadaprogram tersebut dilaksanakan secara atas talian (32 program) dan 22 peratus lagi secara fizikal (9 program) sesuai dengan norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.
Sehingga kini, sejak sedekad lalu pelaksanaan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) telah berjaya melestarikan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan penjawat awam negeri mahupun Persekutuan apabila sebanyak 632 projek inovasi yang telah dihasilkan dan jumlah komuniti ICC aktif (civil servant) dalam Perkhidmatan Awam Sarawak kini mencecah 5,227 orang peserta (ICC practitioner).
Tambah Datuk Amar Jaul lagi, penularan COVID-19 tidak menghalang komitmen penjawat awam untuk menyertai SCSICA tahun ini.
“Ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah penyertaan Kumpulan Innovative and Creative Circle (ICC) dari jumlah hanya 54 kumpulan ICC tahun lepas meningkat kepada 89 kumpulan ICC tahun ini.
“43 Kumpulan ICC tersebut layak ke peringkat akhir SCSICA. Buat julung kalinya Mini Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) yang melibatkan 12 Unit-unit di Jabatan Ketua Menteri (JKM) telah berjaya diadakan pada 6 hingga 7 September 2021.
“Sambutannya amat menggalakkan dengan penyertaan awal 13 Kumpulan ICC daripada penglibatan sembilan (9) Unit di JKM.
3 Kumpulan ICC dari jumlah tersebut telah melayakkan diri ke peringkat akhir SCSICA 2021,” tambahnya.
Dalam pada itu, buat julung kalinya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan menyertai 46th International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2021, di Hyderabad, India secara maya pada 24 hingga 27 November depan.
Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, sebanyak kumpulan dari 5 agensi kerajaan negeri akan mempersembahkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Mereka terdiri daripada Kumpulan DO IT 5 dan Kumpulan REVENUE SQUAD dari Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak), Kumpulan FLARES dari Jabatan Hutan Sarawak, Kumpulan LANDS TAHAI Q dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Kumpulan PROBE dari Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Kumpulan VISION 6 dari Majlis Daerah Sarikei,” katanya.
Adalah diharapkan mereka akan memperolehkan kejayaan yang cemerlang dan membawa balik Anugerah EMAS bagi mengharumkan nama Sarawak sepertimana kejayaan cemerlang dalam penyertaan ICQCC pada tahun-tahun sebelum ini.
Turut sama hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato’ Amir Omar, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak Banges Munga.-EDISI UKAS