‘Ekspresi Tinta Wanita’ Raikan Wanita Dalam Bidang Penulisan

KHAMIS, 14 OKTOBER 2021

KUCHING : Hari Wanita Sarawak bakal disambut dengan tema ‘Ekspresi Tinta Wanita’ untuk meraikan dan menghargai pencapaian serta sumbangan Wanita Sarawak dalam pelbagai bidang pada 20 November nanti.

Selaras dengan tema tersebut, buku yang berjudul ‘Sarawak Women in Scholarly Writing’ akan dilancarkan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib terbitan Jabatan Wanita Keluarga Sarawak (JWKS) di Borneo Convention Center Kuching (BCCK) pada 23 November 2021.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dijangka seramai 200 jemputan bakal hadir pada program pelancaran buku tersebut tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi Facebook dan Youtube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

“Tetamu kehormat untuk majlis pelancaran buku dihadiri oleh Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib manakala untuk sambutan Hari Wanita 2021 dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Datukk Patinggi Dr Abang Abdul Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Isteri,” katanya.

Terdahulu, Dato Sri Fatimah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Hari Wanita 2021 di Wisma Wanita yang turut dihadiri oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis serta Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Norita Bawi pada Khamis.

Program tersebut turut dirancakkan dengan Anugerah Tokoh Wanita 2021 yang merangkumi Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita, Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita, Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Ketua Menteri Pencapaian Khas (Wanita dalam Bidang Penulisan) dan Anugerah Pertubuhan NGO Cemerlang. – EDISI UKAS