KHAMIS, 14 OKTOBER 2021
KUCHING: Setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memastikan kes COVID-19 menurun di negara ini.
Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Eunice Melissa menyeru semua masyarakat supaya menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing kerana ia merupakan jalan terbaik yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebarangkalian dijangkiti COVID-19.
“Pastikan mereka yang layak dan belum mengambil vaksin COVID-19, untuk berbuat demikian, supaya mereka yang tidak layak divaksin akan dilindungi dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam atau tempat kerja dengan sentiasa menggunakan pelitup muka serta penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.
“Sekiranya mempunyai gejala-gejala СOVID-19, asingkan diri anda, jangan turun kerja atau bercampur gaul dengan ahli keluarga mahupun masyarakat dan lakukan ujian kendiri untuk COVID-19 atau pergi ke mana-mana pusat saringan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr. Eunice turut mengingatkan orang awam untuk sentiasa memastikan kesihatan berada pada tahap yang terbaik.
“Bagi yang mempunyai darah tinggi, kencing manis, asma atau penyakit lain, sila pastikan tekanan darah dan bacaan gula pada tahap yang baik dan pastikan anda memakan ubat dan mengikut temujanji yang telah ditetapkan di hospital,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pegawai Epidemiologi Bahagian Kuching, Dr. Noor Baizura Jamali pula mengingatkan pesakit COVID-19 yang menjalani pemantauan kendiri di rumah untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dengan segera sekiranya mengalami gejala teruk.
“Nasihat kepada pesakit COVID-19 yang menjalani pemantauan kendiri di rumah, dapatkan nasihat dan rawatan dengan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, sakit dada, perubahan status mental seperti kekeliruan @ kurang tahap sedar, kelesuan yang bertambah teruk, muntah atau cirit yang yang bertambah teruk, bibir atau jari menjadi kebiruan atau bacaan nadi oximeter kurang daripada 95 peratus,” jelas Dr. Noor Baizura.
Katanya, mereka juga boleh menghubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan.-EDISI UKAS