51 Keluarga Pelajar SK St Joseph Miri B40 Terima Bakul Makanan

JUMAAT, 15 OKTOBER 2021

MIRI: Sebanyak 51 keluarga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) St. Joseph Miri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) telah menerima sumbangan bakul makanan daripada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri pada Khamis. 

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Penasihat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri Dato Sri Lee Kim Shin telah menyempurnakan sesi penyerahan bakul makanan tersebut. 

Bantuan bakul makanan tersebut merangkumi makanan kering seperti beras 10 kg, biskut, mi, minyak masak dan sebagainya merupakan antara inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri kepada keluarga B40 sekolah yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Dato Sri Lee ketika ditemui berkata, program sebegini sememangnya sangat dialu-alukan masyarakat dalam usaha membantu keluarga B40 menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini.

“Sumbangan bakul makanan tersebut sangat bererti bagi keluarga pelajar di sekolah terbabit memandangkan ramai dalam kalangan mereka terjejas dari segi pendapatan sejak pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.

“Terima kasih kepada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri kerana sudi memberi bantuan kepada ibu bapa sekolah ini.

“Begitu juga kepada pihak Saint Joseph’s Cathedral Miri kerana sudi untuk meluangkan tapak bagi menyempurnakan program ringkas ini,” katanya. 

Turut serta dalam program tersebut ialah Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri Gerald Goh dan Yang di-Pertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St. Joseph Goh Ser Seng.-EDISI UKAS