Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Daripada Dato Sri Dr Wan Junaidi & Dato Hanifah Taib

JUMAAT, 15 OKTOBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Dato Hanifah Hajar Taib di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.

Datuk Patinggi Abang Zohari memaklumkan, kunjungan tersebut bertujuan membincangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk kepentingan Sarawak.

Jelasnya, pindaan ini adalah percubaan kali kedua setelah percubaan pertama pada tahun 2019 gagal mendapat sokongan dua daripada tiga majority anggota parlimen yang diperlukan.

“Kerajaan Sarawak tidak memberikan sokongan kepada pindaan sebelumnya kerana pada pandangan kami, pindaan itu tidak mencerminkan status khas Sabah dan Sarawak seperti yang dijangkakan dalam MA63.

“Pindaan baru yang diusulkan terutamanya Artikel 1 (2) dan Artikel 160 (2) lebih komprehensif dan mencerminkan semangat dan niat sebenar ketika memasuki MA63.

“Definisi ‘Persekutuan’ di bawah Artikel 160 (2) sangat penting dan mesti dilakukan agar MA63 diakui dalam Perlembagaan Persekutuan sekaligus memperkenalkan definisi ‘Hari Malaysia’ yang tidak pernah ditakrif sebelum ini,” tambah Ketua Menteri.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menjelaskan bahawa peruntukan yang diberikan kepada Sarawak menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM4.47 bilion masih rendah untuk mempercepat dan merapatkan jurang pembangunan.

“Fokus Ketujuh RMK-12 adalah ‘Meningkatkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Yang Kurang Membangun’ tetapi peruntukan sebanyak RM4.47 bilion hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara di bawah Rancangan Pelancaran Pertama RMK-12.

“Ianya jelas tidak menggambarkan keperluan Sarawak berdasarkan ukuran dan tahap pembangunan serta statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Selain itu, mengulas perbincangan mengenai peruntukan negara, Ketua Menteri telah menitikberatkan kepada kedua-dua menteri Persekutuan tersebut bahawa hasil perkongsian yang dibahagikan perlu mengambil faktor status Sarawak sebagai rakan kongsi.

“Hasil perkongsian yang akan dibahagikan harus berdasarkan beberapa faktor merangkumi sumbangan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan termasuk pendapatan yang diterima melalui eksploitasi sumber semula jadi dan hasil cukai,” ujarnya. –EDISI UKAS