Projek RTP Di Rumah Baba Owin Belili, Nanga Pasa Diteruskan

JUMAAT, 15 OKTOBER 2021

BETONG: Sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk penyambungan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 membina jalan dan baikpulih parit menuju ke kawasan tanah perkuburan Rumah Nanga Pasa, Betong.

Projek berkenaan menggunakan peruntukan RTP Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu.

Pada Khamis telah diadakan upacara serah tapak projek berkenaan anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong di Rumah Baba Owin Belili, Nanga Pasa, Betong. 

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Jurutera Awam, Sandra Luna yang mewakili JKR Bahagian Betong dan disaksikan oleh Pegawai dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Kaunselor Horace Entoi serta Tuai Rumah Baba Owin Belili.

Tempoh kontrak bagi projek itu adalah selama 20 minggu yang dilaksanakan oleh kontraktor Renysm Jaya Trading bermula 27 September lalu.

Sementara itu, Tuai Rumah Baba Owin mewakili penduduk  menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah menunaikan perancangan projek RTP di situ.

Beliau juga berharap projek berkenaan berjalan dengan lancar dan apabila siap ia akan menambahbaik infrastruktur untuk kegunaan penduduk setempat. – EDISI UKAS