Individu Lengkap Vaksin Dari Negeri Lain Tidak Perlu Buat Permohonan Enter Sarawak

SABTU, 16 OKTOBER 2021

KUCHING: Individu dari negeri lain dalam Malaysia yang telah lengkap vaksinasi dan ingin memasuki Sarawak, tidak lagi perlu membuat permohonan melalui EnterSarawak dan tidak diwajibkan menjalani saringan COVID-19 sebelum memasuki negeri ini berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan medianya pada Sabtu memberitahu, namun begitu mereka perlu mengisi e-Health Declaration Form (eHDF).

Jelas JPBN Sarawak lagi, mereka wajib memiliki bukti status ‘Lengkap Vaksinasi’ , wajib memiliki status ‘Risiko Rendah’ atau ‘Kontak Kasual Tidak Bergejala’ sahaja dalam aplikasi MySejahtera dan pemeriksaan MySejahtera akan dibuat sebelum individu dibenarkan menaiki pesawat atau bot penumpang atau di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Manakala bagi individu yang tiada atau tidak lengkap divaksin dan ingin memasuki Sarawak, mereka wajib membuat permohonan melalui EnterSarawak, perlu mengisi borang eHDF dan wajib membuat saringan ujian rt-PCR atau RTK Antigen (swab) dalam tempoh tiga hari sebelum memasuki Sarawak (keputusan ujian self-test kit tidak diterima).

Selain itu, mereka juga wajib memiliki status ‘Risiko Rendah’ atau ‘Kontak Kasual Tidak Bergejala’ sahaja dalam aplikasi MySejahtera, Pemeriksaan MySejahtera dan EnterSarawak akan dibuat sebelum individu dibenarkan menaiki pesawat/bot penumpang atau di ICQS dan menjalani kuarantin di rumah/stesen kuarantin selama 10 hari tertakluk kepada penilaian risiko oleh Pegawai Kesihatan.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun perlu membuat saringan COVID-19 sekiranya memasuki negeri ini bersama ibubapa atau penjaga yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sementara itu, bagi kemasukan dari luar negara, mereka wajib membuat permohonan dalam EnterSarawak, perlu mengisi eHDF dan membuat saringan ujian rt-PCR dalam tempoh tiga hari sebelum memasuki Malaysia.

Tambah JPBN Sarawak lagi, hanya pengembara dari luar negara yang memiliki status ‘lengkap vaksinasi’ dibenarkan untuk ‘transit’ ke Sarawak dalam tempoh 24 jam dan tempoh kuarantin adalah tujuh hari dari tarikh kemasukan ke Malaysia bagi pengembara yang lengkap divaksin. 

Dalam pada itu, bagi pengembara yang tiada atau tidak lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari dari tarikh kemasukan ke Malaysia dan tempat kuarantin adalah di stesen kuarantin yang ditetapkan.

Pengembara dari luar negara wajib melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang dan kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan undang-undang. 

Dalam pada itu, JPBN Sarawak memaklumkan, keputusan ini dibuat bagi mempermudahkan urusan kemasukan ke Sarawak.

Untuk maklumat lengkap berkenaan dengan proses kemasukan, sila rujuk Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan ke Negeri Sarawak. -EDISI UKAS