Pemberian Dos Penggalak Di Mukah Bermula

SABTU, 16 OKTOBER 2021

MUKAH: Pemberian dos penggalak di Mukah bermula pada Rabu lepas dengan seramai 18 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penerima awal dalam program diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mukah.

Menurut petugas KKM, Dr. Huzaimah Husin, pihaknya akan menyediakan dos jenis vaksin iaitu dos ketiga untuk mereka yang rendah imuniti dalam badan dan dos penggalak yang diberikan kepada semua individu.

“Pada peringkat utama adalah untuk petugas barisan hadapan KKM dan pemberian dos adalah secara berperingkat.

“Manakala peringkat kedua untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan syarat mereka menerima dos pertama dan kedua ialah vaksin Pfizer.

“Dengan dos yang ketiga ini ia dapat membantu imun badan memberi respon yang bagus lebih-lebih lagi kepada yang mempunyai penyakit serta menjalani rawatan kanser dan lain-lainnya,” katanya ketika ditemui media pada program itu.

Menurutnya, bagi dos ketiga untuk bahagian Mukah, ia akan dibuat di peringkat hospital manakala untuk dos penggalak, akan diberikan kepada individu yang sebelum ini menerima vaksin jenis Pfizer.

Jelasnya, dos penggalak akan diberikan kepada mereka yang menerima vaksin Pfizer dan jarak masa antara dos kedua dan penggalak sekurang-kurangnya enam bulan.

Sementara itu, salah seorang bagi petugas KKM, Ahmad Nadzim Besiri amat bersyukur selepas menerima suntikan dos penggalak kerana mengakui tugasannya amat berisiko terdedah dengan mereka yang terkena jangkitan Covid-19.

Seorang lagi lagi penerima, Dr Fatin Adilah Abdullah amat berbangga kerana menjadi antara kumpulan yang pertama menerima dos penggalak.

Beliau dalam pada itu menyeru mereka yang telah tersenarai untuk menerima vaksin secara percuma dari kerajaan untuk mendapatkannya bagi menangani Covid-19 daripada terus menular. – EDISI UKAS