Cek Peruntukan MRP PIBG Dan JKKK Perlu Dihantar Segera Ke Bank Elak Tamat Tempoh

AHAD, 17 OKTOBER 2021

TATAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membelanjakan peruntukan ini dengan segera bagi keperluan pelajar dalam pembukaan sesi persekolahan dalam masa terdekat. 

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata cek ini perlu dihantar terus ke bank bagi mengelakkan ianya tamat tempoh dan perlu digunakan segera untuk tujuan persekolahan. 

Begitu juga dengan cek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diserahkan ini.

“Peruntukan kepada PIBG ini perlu digunakan untuk pesediaan anak-anak kita yang akan memasuki ke sesi persekolahan. 

“Contohnya untuk membeli pembersih tangan, pelitup muka dan sebagainya. 

“Peruntukkan ini bukan untuk melaksanakan program  atau aktiviti di sekolah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Kakus pada Jumaat. 

Sebanyak 14 JKKK dan 8 buah PIBG menerima peruntukan MRP dengan jumlah keseluruhan RM148,000. 

Pada majlis sama, Datuk John Sikie turut menyampaikan cek dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM150,000 kepada Gereja BEM Pekan Tatau dan Gereja Methodist Iban Sungai Muput Kanan RM150,000. 

Dalam pada itu, bercakap mengenai wabak pandemik COVID-19 ketika ini penularannya lebih banyak berlaku di rumah panjang berbanding di kawasan bandar. 

Ini kerana cara hidup di rumah panjang adalah begitu dekat di antara satu sama lain dan perlu mmeatuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Sementara itu, Pastor Maxwell Along mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas pemberian peruntukan kepada Gereja BEM Tatau. 

“Saya mewakili pihak Gereja BEM Tatau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah memberi peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Gereja BEM Tatau. 

“Peruntukan ini amat bermakna untuk kami dan digunakan untuk projek menaik taraf gereja,” katanya.

Selepas penyerahan cek MRP, beliau meninjau cadangan tempat Pusat Kraftangan Daerah Tatau bertempat di Pekan Lama Tatau yang akan dijadikan tempat penjualan hasil kraftangan penduduk sekitar Daerah Tatau dan meninjau Tapak Cadangan Mini Stadium Tatau serta ke Rumah Jampi Jalang Sangan Merit meninjau proses pembinaan rumah panjang. 

Hadir sama Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan dan Pemanca Daerah Tatau Pemanca Gerosen anak Jubin.-EDISI UKAS