AHAD, 17 OKTOBER 2021
MIRI: Seramai 1,636 pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau menerima dos kedua mereka di PPV Dewan Universiti Curtin Miri.
Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato Sri Lee Kim Shin, proses vaksinasi kali ini berjalan lancar
“Tidak seperti keadaan semasa vaksinasi dos pertama sebelum ini yang terdapat beberapa gangguan seperti kesesakan dan barisan panjang, pada hari ini (Sabtu) aliran pelajar yang menerima vaksin Pfizer dos kedua berjalan lancar dan sangat teratur.
“Saya gembira melihat sebilangan besar pelajar bersama ibu bapa dan penjaga mereka hadir untuk menerima dos kedua,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Universiti Curtin Miri pada Sabtu.
Dalam pada itu Dato Sri Lee mengucapkan terima kasih kepada Universiti Curtin kerana membenarkan pelajar dan ibu bapa menggunakan kemudahan WiFi secara percuma untuk melakukan pendaftaran dan mengimbas kod QR.
Kebenaran ini telah membantu mempercepat proses pendaftaran dan vaksinasi tersebut.-EDISI UKAS