250 Pemenang Kempen Cabutan Bertuah Pelanggan e-Billing Sarawak Energy

SELASA, 19 OKTOBER 2021

KUCHING: Sarawak Energy dengan sukacitanya mengumumkan 250 pemenang Suku Ketiga (Q3) Kempen Cabutan Bertuah untuk pelanggan e-Billing.

Pengurus Besar (Peruncitan) Syarikat SESCO Berhad, Ng Shou Fui memaklumkan, setiap pemenang akan mendapat rebat tunai RM50 untuk dikreditkan ke akaun kontrak elektrik mereka.

“Pemenang dipilih secara rawak dengan perisian undian dalam talian dan akan dimaklumkan melalui alamat e-mel berdaftar langganan e-Billing mereka.

“Pelanggan juga boleh merujuk laman web Sarawak Energy di www.sarawakenergy.com untuk senarai pemenang,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Beliau menambah, kempen tersebut akan mendorong lebih ramai pelanggan untuk mendaftar bagi perkhidmatan e-billing dan setakat ini sejumlah 65,659 pelanggan telah melanggannya.

“Dalam usaha untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar, kami menggunakan penyata bil secara digital untuk mengurangkan penggunaan kertas.

“Kami akan terus melakukan kempen cabutan bertuah untuk menghargai pelanggan dan bagi mereka yang telah menang dalam sesi sebelumnya masih layak untuk menyertai cabutan bertuah seterusnya sepanjang Kempen Go Paperless sehingga 31 Disember ini,” katanya.

Jelas Shou Fui lagi, pelanggan yang melanggan perkhidmatan e-Billing akan menerima rebat RM2 dalam bil elektrik bulanan mereka selama 12 bulan berkuatkuasa dari tempoh bil selepas pendaftaran.

Untuk mendaftar, pelanggan boleh mendaftar melalui aplikasi mudah alih ‘SEB cares’ atau laman web www.sarawakenergy.com. atau menghubungi 1-300-88-3111 termasuk e-mel customercare@sarawakenergy.com atau menghubungi kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy. –EDISI UKAS