MOTAC Salur Bantuan Kewangan RM61 Juta Bantu Penggiat Industri Pelancongan

SELASA, 19 OKTOBER 2021

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyalurkan bantuan kewangan dan insentif sebanyak RM61 juta kepada penggiat industri pelancongan di seluruh negara termasuk di Sarawak yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan serta insentif tersebut adalah di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) 2021, PEMERKASA+ 2021, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) 2021 dan Geran Khas Prihatin 2021.

Menurut beliau, ia merupakan komitmen berterusan pihak kerajaan bagi memulihkan rantaian ekonomi pelancongan sekaligus membantu pemain industri berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Inisiatif MOTAC ini adalah bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh penggiat industri yang terkesan akibat COVID-19 untuk kembali memulakan operasi perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di sini pada malam Isnin.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu menambah, seramai 10 orang pemandu pelancong, 10 agensi pelancongan, empat individu yang berkaitan dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan empat pengusaha inap desa yang berdaftar dengan MOTAC menerima bantuan kewangan berjumlah antara RM500 hingga RM3,000.

Dato Sri Nancy memaklumkan, bantuan itu telah disalurkan kepada penggiat industri pelancongan secara berperingkat di negara ini sejak bermulanya wabak COVID-19.

Beliau menambah, MOTAC juga yakin bahawa dengan pengumuman pembukaan rentas negeri pada 11 Oktober lepas dapat membantu memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya sekaligus membina kembali kekuatan ekonomi negara. –EDISI UKAS