Pembangunan Kampung Salak Akan Dijalan Berterusan

SELASA, 19 OKTOBER 2021

KUCHING: Pembangunan di Kampung Salak akan dijalankan secara berterusan supaya penduduk kampung dapat menjalani kehidupan yang selesa.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan di Kampung Salak yang terletak di kawasan pulau tidak jauh ketinggalan dengan penempatan di bandar, di mana kampung tersebut telah mempunyai kemudahan asas seperti kemudahan elektrik, bekalan air dan telekomunikasi.

“Sekarang kampung ini mempunyai kemudahan asas yang lengkap sama seperti kampung lain di bandar.

“Ia adalah hasil kerjasama kepimpinan dan penduduk kampung yang mahukan perubahan di kampung mereka,” katanya ketika berucap menangguhkan Program Khemah Ibadah dan Ceramah Khas Maulidur Rasul 1443H/2021 M di Masjid Darul Muslimin Kampung Salak pada Selasa.

Program Khemah Ibadah mendapat sambutan dari 40 peserta dari Kampung Salak manakala ceramah khas berkaitan Maulidur Rasul disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkesempatan menyerahkan sebanyak 120 pek makanan kepada penduduk Kampung Salak.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak turut membangunkan kemudahan seperti rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jeti untuk kemudahan penduduk setempat.

“Dana ini disediakan kerajaan Sarawak menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) selain Projek Rakyat.

“Kerajaan Sarawak turut menyediakan dana untuk membaiki rumah menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS),” ujarnya.-EDISI UKAS