Pembangunan Sama Rata Untuk Semua Kawasan Perkampungan Di Betong

SELASA, 19 OKTOBER 2021

BETONG: Semua kawasan dalam Bahagian Betong termasuk perkampungan Melayu akan menerima pembangunan sama rata seperti di kawasan-kawasan lain.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu sambil berkata banyak pembangunan dan projek yang dirancang juga telah dilaksanakan di kawasan perkampungan Melayu di Betong.

Katanya, perancangan projek di setiap kampung adalah merujuk kepada keperluan dan keutamaan di kampung masing-masing.

Beliau berucap demikian semasa majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada enam surau dan sebuah masjid bertempat di Perkarangan Surau Darul Taqwa, Kampung Baru Hulu Betong pada Selasa.

Tambah beliau, pandemik COVID-19 menyebabkan banyak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasannya tertangguh pelaksanaannya.

Menyentuh mengenai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menaiktaraf sistem perparitan di kampung berkenaan, Dato Gerald berkata ia kini memasuki proses cabut undi yang akan diadakan pada 25 Oktober ini.

Sejumlah RM34,000 geran MRP diagihkan dalam majlis itu dengan penerimanya adalah Masjid Jamek Betong (RM10,000), Surau Darulsalam, Kampung Pasa Melayu Betong (RM4,000), Surau Damai, Kampung Hilir Betong (RM4,000), Surau Darul Dakwah, Kampung Tengah Betong (RM4,000), Surau Darul Taqwa, Kampung Baru Hulu Betong (RM4,000), Surau Setia, Kampung Baru Hilir Betong (RM4,000) dan Surau An Najah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong (RM4,000).

Pada majlis sama, Dato Gerald turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 83 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Baru Hulu Betong anjuran pihak JKKK Kampung Baru Hulu, Betong. – EDISI UKAS