Program Keselamatan Di Tempat Kerja Dalam Fasa Endemik Di Bahagian Betong

RABU, 20 OKTOBER 2021

BETONG: Program Keselamatan Di Tempat Kerja Dalam Fasa Endemik telah diadakan di Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Bahagian Betong anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong pada Rabu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar merangkap Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong, Dato Gerald Rentap Jabu telah mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi program tersebut.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas dalam ucapan ringkasnya berkata, kebelakangan ini banyak jabatan dan agensi yang terpaksa ditutup bagi proses sanitasi berikutan ramai pegawai disahkan COVID-19. 

Menurutnya, dalam bulan September 2021 yang lepas, sebanyak 92 kes COVID-19 telah direkodkan berlaku di Kompleks Kediaman Kerajaan Negeri Sarawak, Bahagian Betong. 

Program tersebut juga bertujuan agar para penjawat awam mengambil maklum tentang tatacara pengurusan sekiranya berlaku kes positif di jabatan dan agensi masing-masing.

Pada majlis sama, ADUN Layar menyerahkan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 12 buah kelab dari kalangan agensi kerajaan di Betong dengan nilai keseluruhan cek sebanyak RM58,000. 

Antaranya agensinya ialah, Kelab Sukan dan Rekreasi PKB Betong, Tabung Kebajikan Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Tabung Kebajikan dan Perpaduan Betong, Kelab Pengajian Islam dan Rekreasi Pejabat Agama Islam Bahagian Betong dan Kelab Pertanian Daerah Saribas Betong. 

Selain itu, Kelab Polis IPD Betong, Kelab Sosial dan Rekreasi Pejabat Daerah Betong, Kelab Sosial dan Sukan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Residen Bahagian Betong, Kelab Sukan dan Kebajikan JPS Bahagian Betong, Kelab Sukan Rekreasi JBALB Bhg Betong @ RUWAS Betong dan Kelab Tenis Betong juga menerima peruntukan MRP tersebut. -EDISI UKAS