RTP: Projek Naik Taraf Jalan Komuniti Kampung Tekalong Siga Sedang Dilaksanakan

RABU, 20 OKTOBER 2021

SIMANGGANG: Projek menaik taraf jalan komuniti sepanjang 800 meter di Kampung Tekalong Siga, Jalan Paip, Sri Aman kini sedang dalam pelaksanaan.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos RM200,000 itu dibina atas permintaan penduduk kampung.

Menurutnya, ia adalah untuk memudahkan urusan harian dalam aktiviti pertanian dan kemudahan bagi urusan pengebumian terhadap penduduk rumah panjang yang meninggal dunia.

“Projek RTP ini sebahagian dari beberapa projek yang telah dilaksanakan di kawasan DUN Simanggang dan pihak kerajaan negeri sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi rakyat di kawasan DUN Simanggang,” katanya semasa melakukan tinjauan projek RTP yang dilaksanakan di kawasan DUN Simanggang pada Selasa.

Untuk rekod, Di DUN Simanggang secara keseluruhannya pembangunan telah mengubah sosio ekonomi rakyat kepada yang lebih baik dan kerajaan merupakan fasilitator untuk terus maju dalam meningkatkan taraf hidup.

Sehubungan itu, rakyat di kawasan DUN Simanggang boleh menilai secara adil pembangunan yang dibawa oleh wakil rakyat dari kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).-EDISI UKAS