109 Pelajar SMK Engkilili Yang Tercicir Terima Suntikan Vaksin Dos Kedua

KHAMIS, 21 OKTOBER 2021

ENGKILILI: Seramai 109 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili yang tercicir pada program vaksinasi sebelum ini telah menerima suntikan vaksin dos kedua jenis Pfizer pada Selasa.

Para pelajar tersebut telah melengkapkan suntikan vaksin mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MDLA yang turut diiringi oleh ibu bapa masing-masing.

Proses vaksinasi yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Kecil Engkilili berjalan lancar dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), MyVac, pihak sekolah dan petugas Klinik Kesihatan Engkilili.

Para ibu bapa merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas usaha melaksanakan program vaksinasi bagi pelajar sekolah. – EDSI UKAS