ADUN Asajaya & ADUN Sebuyau Tinjau Projek Naik Taraf Jalan Pesisir Simpang Tambey-Asajaya

KHAMIS, 21 OKTOBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersama dengan Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi turun padang bagi meninjau projek naik taraf jalan pesisir PA1 di Simpang Tambey ke Asajaya pada Khamis.

Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau memaklumkan, projek jalan pesisir sepanjang 12.85 kilometer (km) yang bernilai RM11,888,435 tersebut sepatutnya dijadualkan siap pada 3 Ogos lepas namun setakat ini hanya mencapai 22 peratus.

Jelasnya, penduduk setempat telah membuat aduan atas kelewatan projek itu kerana ianya merupakan laluan utama menghubungkan Jambatan Batang Lupar yang kini dalam proses pembinaan.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya menggesa pihak kontraktor untuk melaksanakan projek berkenaan secepat yang mungkin dan tarikh siap terpaksa dilanjutkan sehingga 19 Februari 2022.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu. –EDISI UKAS