KHAMIS, 21 OKTOBER 2021
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud telah menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Panglima 3 Briged Kem Penrissen di sini pada Rabu.
Majlis ringkas itu diadakan sempena perpisahan Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad yang akan bertukar keluar ke National Task Force, Kuala Lumpur bagi menjawat jawatan sebagai Assistant Ketua Staff Operasi Bahagian Logistik Bhg J4.
Dalam majlis itu, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kepimpinan Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad yang telah banyak memberikan bantuan semasa banjir dan juga Projek Jiwa Murni yang dilaksanakan oleh pihak ATM untuk membantu masyarakat setempat di Samarahan.
Beliau juga berharap semoga pengalaman Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad selama bertugas di sini akan dijadikan oleh beliau sebagai bekalan berguna untuk meneruskan tugas di tempat lain selepas ini.
Sementara itu, Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud kerana selama ini sentiasa membantu pihak ATM di Kem Penrissen dan berharap anggotanya sentiasa memberikan sokongan penuh kepada ADUN Stakan dalam meneruskan khidmat beliau bagi mewakili rakyat di kawasan DUN Stakan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dan Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohamad Ainnie Wahab. -EDISI UKAS