DBKU Menang CMEA 2019-2020 dengan tema “Enhancing Environmental Stewardship”

KHAMIS, 21 OKTOBER 2021

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah memenangi Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) 2019-2020 bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Bandaraya dengan tema “Enhancing Environmental Stewardship” lanjutan dari tema sebelumnya, “Nurturing Environmental Stewardship”.

Dalam sidang media khas bersama Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU) juga merangkap Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air), Datuk (Dr) Abdul Rahman Junaidi memberitahu, CMEA bertujuan untuk mengenali usaha dan komitmen sesebuah industri, pihak berkuasa tempatan dan orang perseorangan terhadap keperihatinan terhadap perlindungan alam sekitar.

“Secara amnya, objektif CMEA bertujuan untuk  meningkatkan kesedaran alam sekitar kepada institusi swasta dan awam di Sarawak, memperkukuhkan konsep perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar merupakan peranan setiap orang.

“Seterusnya,  mendorong amalan pengurusan persekitaran di semua lapisan masyarakat di Sarawak dan mengiktiraf semua pihak yang telah memberi sumbangan besar dalam perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar di negeri Sarawak” katanya ketika berucap di sidang media berkenaan di Ibu Pejabat DBKU, pada Khamis.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai pembinaan semula Jambatan Gantung Satok yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang telah siap pada Mac lalu.

“Buat masa ini penyeliaan dan penyelenggaraan Jambatan Gantung Satok masih di bawah JKR Sarawak, dan peranan kita di  DBKU ialah membantu dengan menyediakan tong sampah, maknanya kita membantu meningkatkan kebersihan dan juga kerja-kerja pembersihan dan pemotongan rumput di sekitar tebing sungai dan telah dilaksanakan oleh DBKU sejak September yang lalu.”jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau sempat berkongsi mengenai salah satu projek pembangunan Pintar di bawah projek Pengindahan Kampung Nombor iaitu Smart LED Street Lightings.

Difahamkan projek ini melibatkan pemasangan sebanyak 210 unit Smart LED Street Lantern di Jalan Patingan, Jalan Muhibbah, Jalan Datuk Ajibah Abol, Jalan Haji Mataim, Jalan Muda Hashim, Jalan Bolhassan, Jalan Patinggi Ali, Jalan Haji Kassan dan Jalan Tanjung-EDISI UKAS