Kerja Dalam Semangat Berpasukan Capai Kejayaan Lebih Banyak

KHAMIS, 21 OKTOBER 2021

MIRI: Semangat berpasukan dalam setiap organisasi itu penting untuk memastikan objektif akhir dapat dicapai dengan jayanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid berkata sebagai satu pasukan semua orang bersama mencapai kejayaan lebih banyak. 

“Sesuatu kejayaan organisasi itu mungkin sukar dikecapi sekiranya kita bergerak berseorangan. 

“Jika kita secara berpasukan keajaiban organisasi itu akan terserlah kerana dalam pasukan akan adalah yang menggapai tangan di saat kita jatuh dan ada yang menghulur tangan di saat kita memerlukan pertolongan. 

“As a team, together everyone achieve more,” katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2020 di Hotel Pullman Miri pada Rabu. 

Seramai 30 orang pegawai Bomba telah dianugerahkan Pingat Kebesaran Jabatan sementara 99 orang pegawai akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang termasuk Pegawai Bomba Bantuan di atas khidmat bakti dan kecemerlangan prestasi perkhidmatan yang dihulurkan sepanjang tahun 2020. 

Tambah beliau lagi, baru-baru ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mendapat kelulusan sebagai suatu agensi yang dibenarkan mendapat faedah daripada Tabung Amanah Perwira Pertahanan Negara (TAPPAN) selain beberapa bantuan lain yang pernah diterima sebelum ini. 

Terdahulu, dalam ucapan alaun Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman@Hussaini berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) ini merupakan platform bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan yang tinggi kepada kakitangan yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sasaran kerja yang telah ditetapkan. 

“Saya turut ingin mengucapkan tahniah dan syabas, kepada setiap penerima Pingat Kebesaran Jabatan dan APC, JBPM Negeri Sarawak, yang telah diangkat sebagai high performers, menjadi role model kepada rakan yang lain dan secara langsungnya, menjadi pengerak perubahan kepada organisasi. 

“Saya percaya penghargaan ini memberi makna yang mendalam kepada penerima. 

“Tahun ini merupakan tahun yang sangat istimewa kerana kita turut dapat menyaksikan 3 orang pemimpin negeri yang akan bersama-sama kita menerima anugerah daripada jabatan,” katanya. 

Pada majlis itu, JBPM Sarawak turut menganugerahkan Pingat Ketua Pengarah Bomba (PKP) kepada Dato Sri Prof. Dr. Sim, Dato Sri Lee dan Datuk Sebastian Ting sebagai penghargaan di atas Sumbangan dan jasa kepada JBPM Sarawak. 

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.-EDISI UKAS