KM Dijangka Rasmi Bangunan Dewan Bandaraya Miri Pada 15 November Nanti

KHAMIS, 21 OKTOBER 2021

MIRI: Bangunan Dewan Bandaraya Miri yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 15 November ini. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bangunan ini kini pada tahap 99.67 peratus siap dan kerja-kerja sentuhan akhir di bahagian atap bangunan serta proses mengaturkan perabot sedang dilakukan di Bangunan Dewan Bandaraya Miri.

“Reka bentuknya yang menggabungkan elemen Indeks Bangunan Hijau seperti penggunaan tenaga dan air yang cekap, jaminan kualiti alam sekitar, perancangan dan pengurusan tapak yang mampan, penggunaan bahan dan sumber yang efisien dan reka bentuk yang inovatif turut menggalakkan kelestarian dalam persekitaran yang dibina,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan dan memantau perkembangan Projek Bangunan Dewan Bandaraya Miri pada Rabu. 

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan perkembangan dan persediaan bangunan ini dan meminta jawatankuasa menyediakan Pelan B sekiranya cuaca tidak mengizinkan pada hari perasmian itu nanti.

Projek ini telah tertangguh selama 10 bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

Bangunan Dewan Bandaraya Miri ini akan menjadi mercu tanda baharu atau satu ikon baharu untuk Miri selain menyediakan pengurusan dan pentadbiran secara digital selaras dengan visi menjadikan bandar raya itu sebagai sebuah bandar raya pintar, hijau dan peranginan.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Setiausaha MBM Morshidi Frederick, Jurutera Bandaraya dari Majlis Bandaraya Miri Abdul Rahman Taupek dan wakil Residen Miri Melisa Labut.-EDISI UKAS