JUMAAT 22 OKTOBER 2021
SERIAN: Sebanyak 38 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua projek terbabit merupakan sebahagian tanggungjawab kerajaan pusat menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam menyediakan prasarana bekalan air untuk rakyat Sarawak.
Menurutnya, KPLB juga akan meneruskan projek BALB itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mulai tahun ini sehingga tahun 2025.
“Kita (KPLB) juga akan terus membuat penyambungan projek BALB dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah berjalan mulai tahun ini sehingga tahun 2025.
“Malah, pada minggu depan ada pengumuman bajet di peringkat Dewan Rakyat dan kita akan tahu, lebih kurang perbelanjaan yang akan digunakan untuk tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tangki air aras tinggi dan simbolik penyerahan projek bekalan air luar bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, Duta Khas Perdana Menteri Ke Jepun, Republik Korea Dan Taiwan, Dato Sri (Dr) Richard Riot Jaem, Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Kedup, Martin Ben, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan.
Mengulas mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos, Dato Seri Mahdzir memberitahu, projek tersebut telah dilaksanakan mulai tahun 2017 dan menelan kos sebanyak RM112.37 juta.
Jelas beliau, projek yang melibatkan kerja pemasangan saluran paip sepanjang 165 kilometer (km), pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti satu juta liter di Kampung Senggai Mawang dan 2.5 juta liter di Kampung Muara Ahi itu akan memberi manfaat kepada seramai 14,385 penduduk di kawasan berkenaan.
“Projek ini turut melibatkan pemasangan paip ke rumah-rumah dan pembinaan stesen pam penggalak dan mampu menampung lebih kurang 5,000 buah rumah penduduk dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini,” katanya. -EDISI UKAS