Jabatan Perikanan Laut Sarawak Cadang Tubuh Kawasan Refugia Udang Harimau Di Kuala Baram Miri

JUMAAT, 22 OKTOBER 2021

MIRI: Sarawak bertuah kerana Udang Harimau merupakan sumber perikanan yang boleh didapati di perairannya termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng, pihaknya bercadang menubuhkan kawasan Refugia Udang Harimau di Kuala Baram yang tertumpu kepada pemeliharaan Udang Harimau yang bertujuan melindungi spesis penting perikanan. 

“Buat masa ini terdapat 2 kawasan Refugia telah diwujudkan Jabatan Perikanan Malaysia iaitu Refugia Udang Karang di Perairan Johor dan Refugia Udang Harimau di Kuala Baram Miri, Sarawak.

“Pendaratan Udang Harimau di Miri, Sarawak bagi tempoh 2015 hingga 2020 adalah berjumlah 78.79 tan metrik dengan nilai jualan mencecah RM5.6 juta,” katanya semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Cadangan Penubuhan Kawasan Refugia Udang Harimau Kuala Baram Bersama Pihak Berkepentingan di Hotel Pullman Miri pada Khamis. 

Sesi libat urus ini melibatkan 24 jabatan dan agensi kerajaan sebagai suatu usaha menjalinkan kerjasama baik dalam menjayakan Refugia Udang Harimau di Kuala Baram Miri.

Dua sesi ceramah telah disampaikan penceramah jemputan dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Bintawa dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, P. Pinang.-EDISI UKAS