JUMAAT, 22 OKTOBER 2021
SERIAN: Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dan membantu golongan yang memerlukan khususnya ketika negara masih berdepan wabak COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, dengan keadaan semasa yang tidak mengizinkan, ianya merupakan satu pendekatan yang sesuai kerana semua masyarakat perlu memainkan peranan dalam membantu menghulurkan bantuan selain memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Tambah beliau, peluang untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada masyarakat memerlukan amat berharga bagi walaupun dalam tempoh yang singkat.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam membantu kebajikan serta keperluan setiap lapisan masyarakat di negara ini.
“Perancangan dan pelaksanaan kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat amatlah memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perseorangan,” katanya semasa Program Sumbangsih Sempena Sambutan Maulidur Rasul Bahagian Serian Tahun 1443H/2021M pada Khamis.
Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Serian di Pejabat Residen Bahagian Serian dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” yang juga selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang pelbagai kaum.
Sumbangan kali ini merangkumi seramai 86 orang awam yang terlantar atau dimasukkan di Hospital Serian merangkumi setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
Turut hadir, Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Serian, Mahyuddin Hafiz, Pengarah Hospital Serian, Dr. Maria Mesran, Penghulu Morshidi Mohamed dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian, Ustaz Mohamad Amin Dan. -EDISI UKAS