JUMAAT, 22 OKTOBER 2021
KUCHING: Seramai lapan anak Sarawak yang belum menerima taraf kewarganegaraan sebelum ini menerima taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, pada Jumaat.
Surat kelulusan kewarganegaraan telah disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga di sini.
“Yang hadir pada hari ini untuk menerima surat kelulusan adalah seramai lapan orang yang berada di sekitar Kuching, manakala yang berada di luar Kuching mereka akan dihantarkan surat itu nanti,” katanya dalam sidang media selepas program berkenaan.
Difahamkan, dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKKSK) tersebut telah membincangkan sebanyak 145 permohonan yang telah di terima.
Sementara itu Dato Sri Fatimah berpesan bagi yang ingin memohon kewarganegaraan hendaklah menghantar dokumen yang lengkap supaya menjimatkan masa dan mempercepatkan lagi proses tersebut.
Selain itu beliau juga berharap, agar Jawatankuasa Khas dapat memenuhi ‘Terms of Reference’ yang telah dibentangkan semasa mesyuarat, supaya mereka yang menaruh harapan untuk dianugerahkan status kewarganegaraan tersebut dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia. -EDISI UKAS