AHAD, 24 OKTOBER 2021
BATANG AI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Batang Ai perlu memastikan masyarakat akar umbi sentiasa menerima manfaat daripada segala bantuan dan inisiatif yang dibawa oleh pihak kerajaan.
Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, kepimpinan di peringkat kampung penting dalam memastikan semua bantuan yang disalurkan diterima oleh rakyat.
Jelasnya, mereka juga perlu menyampaikan segala maklumat yang tepat kepada masyarakat akar umbi.
Beliau berkata demikian semasa Pemantauan Program Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar (K3AS) di Rumah Puso Andin, Krangan Mong, SPS Fasa 1, Lubok Antu.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Gerempung lndu Krangan Mong dan RM5,000 untuk Saberkas Engkilili. -EDISI UKAS