AHAD, 24 OKTOBER 2021
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM51.02 juta diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk disalurkan kepada 114,171 pekebun kecil getah di Sarawak.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, dana yang disalurkan itu melibatkan program Kawasan Bertanam Getah, Aktiviti Ekonomi Tambahan, Pembangunan Produktiviti dan Agromakanan.
Menurutnya, Program Tanam Semula Getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805 ribu sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500 sehektar dan seluas 1,301 hektar berjaya ditanam semula dengan memberi manfaat kepada seramai 1,504 pekebun kecil di negeri ini.
“Bagi keperluan prasarana pertanian pula, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer (km) jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 km sistem perparitan dan dua jambatan untuk kemudahan operasi perladangan dan kesemua bantuan bantuan Kawasan Bertanam Getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dalam Majlis Penyampaian Bantuan dan Peralatan Quick Win RISDA dan KEMAS di Pejabat RISDA Negeri Sarawak, Kota Samarahan pada Sabtu.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Ramlan Harun.
Datuk Hasbi Habibollah kemudian menyampaikan Bantuan Bakul Prihatin kepada 100 penerima terdiri daripada pekebun kecil yang terjejas akibat COVID-19.
Beliau turut menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2021 berjumlah RM29,461,800 juta iaitu pengagihan sebanyak RM600 seorang melibatkan 232,319 orang pekebun kecil RISDA dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatannya ketika musim tengkujuh.
Turut disampaikan Peralatan Quick Win KEMAS seperti mesin jahit industri kepada para peserta KEMAS di mana Quick Win KEMAS dilaksanakan dengan bertujuan membantu individu memulakan perniagaan melalui kemahiran yang diperoleh selepas tamat mengikuti kursus antara 3 hingga 5 hari.
Apabila selesai menghadiri kursus tersebut, para peserta akan diberikan peralatan bagi kegunaan mereka untuk memulakan perniagaan. -EDISI UKAS