Kekal Patuhi SOP Semasa Fasa Endemik

ISNIN, 25 OKTOBER 2021

BETONG: Masyarakat khususnya di Betong diingat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Sarawak bersedia untuk memasuki fasa endemik wabak COVID-19.

Menurut ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu, hanya dengan mematuhi SOP ditetapkan dan penjagaan kesihatan diri akan membolehkan wabak itu dikekang penularannya dalam komuniti.

Berucap semasa Majlis Perasmian Program Sepakat @ Komuniti di Rumah Allen Giman, Nanga Ajau, Layar pada Ahad, Dato Gerald turut menggalakkan masyarakat di situ menggunakan kit ujian kendiri dan segera melapor kepada Pejabat Kesihatan jika didapati positif untuk mengelak risiko kematian.

Mengulas mengenai konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Sabtu lepas, beliau berkata konsep berteraskan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran itu bertujuan membawa negara kembali ke landasan pembangunan setelah terjejas akibat penularan Covid-19.

Di akhir majlis, Dato Gerald telah menyerahkan cek MRP bernilai RM3000 sumbangan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat untuk Biro Wanita Nanga Ajau.

Terdahulu, Dato Gerald menerima suntikan vaksin dos penggalak yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Panglima Rentap, Betong.

Program anjuran Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Daerah Betong itu bertujuan memberikan dos penggalak kepada kira-kira 200 petugas barisan hadapan bukan kesihatan dari kalangan anggota Polis, Bomba, Angkatan Perkhidmatan Awam dan agensi-agensi lain.

Ketika ditemui, ADUN Layar memuji dan merakamkan penghargaan kepada para petugas KKM yang komited dan profesional di dalam menjalankan tugas dan menjayakan program berkenaan.

Selepas ini, dos penggalak dan dos ke-3 akan diberikan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. – EDISI UKAS