ADUN Meradong Cadang Dua Jalan Utama Di Sg. Bakong, Sg. Tulai Dinaiktaraf

SELASA, 26 OKTOBER 2021

MERADONG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei bersama wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Ley Chee Hua telah mengadakan lawatan bagi meninjau jalan utama yang perlu dinaiktarafkan di Jalan Utama Siew Ba Kiong, Sg Bakong dan Jalan Utama Tong Ah, Sg Tulai pada Isnin. 

Setakat ini, cadangan kedua-dua jalan berkenaan adalah jalan utama paling panjang yang masih belum siap dinaiktaraf dan keadaan jalan masih berbatu dan tanah. 

Namun, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hing telah mencadangkan agar JKR Bahagian Sarikei memohon peruntukan untuk menaiktaraf jalan utama tersebut kerana ia menjadi jalan utama penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti harian.

Sehubungan itu, Ketua kaum setempat berterima kasih dengan cadangan daripada ADUN Meradong dan berharap agar JKR Bahagian Sarikei mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Sarawak secepat mungkin kerana keadaan bahagian jalan tersebut masih di atas bukit dan mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal terutamanya pada hari hujan. – EDISI UKAS