RABU, 27 OKTOBER 2021
MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak menerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menguatkuasa peruntukan di bawah Ordinan Sungai Sarawak 1993.
Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini selepas siapnya Terminal Pertukaran Krew sepanjang 200 meter oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Miri bermula September 2019 di Pulau Melayu Miri yang kini telah beroperasi.
Katanya, sepanjang 15 tahun lalu jumlah dan saiz kapal luar pesisir ini telah meningkat dan terdapat kira-kira 186 bot berlesen dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak yang memberi perkhidmatan kepada industri minyak dan gas dengan sebahagian besarnya beroperasi di Bintulu dan Miri.
“Sokongan padu Kerajaan Sarawak terhadap pertumbuhan industri minyak dan gas di negeri ini dan pengumuman pemindahan Ibu Pejabat Shell Malaysia ke Miri baru-baru ini pastinya akan menyaksikan peningkatan dan kerancakan aktiviti maritim dan sungai khususnya di Sungai Miri.
“Semua ini akan menjadi petanda baik dengan pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya pada masa yang mencabar di bawah pandemik COVID-19.
Katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Terminal Pertukaran Kru di Pulau Melayu Miri pada Selasa.
Ujar Dato Sri Lee lagi, kementeriannya juga dalam proses mencari cara untuk menjaga keselamatan pelayaran dan kecekapan kapal di Sungai Miri antaranya mengkaji mewujudkan kawasan berlabuh di Kuala Baram untuk kapal-kapal yang tidak beroperasi, menyediakan Aids to Navigation (AtONS) tambahan serta Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) pada masa akan datang.
Semua usaha ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelabur untuk mengembangkan pelaburan sedia ada dan menarik lebih banyak pelaburan baharu ke Miri.-EDISI UKAS