RABU, 27 OKTOBER 2021
MIRI: Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak (JPNS) telah melakukan transformasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai khususnya menerusi Unit Menyemai kasih Rakyat (MEKAR).
Penolong Pegawai Pendaftaran Bahagian Miri, Dominic Upai Lagan memberitahu, unit ini akan turun ke lapangan di kawasan pendalaman di Sarawak untuk mendaftarkan dokumen pengenalan diri kepada penduduk yang layak.
“Perkhidmatan ini sangat membantu mereka yang berada jauh di pedalaman yang tidak mempunyai pengangkutan dengan kos yang tinggi dan masa yang lama untuk mereka hadir ke pejabat JPN yang berhampiran.
“Dalam usaha JPNS untuk memberikan perkhidmatan tanpa sempadan ini, sudah pasti Unit Mekar kekal relevan walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang sukar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai isu kewarganegaraan di Bangunan Baitulmal Sarawak, Miri pada Selasa.
Dominic menambah, Unit Mekar JPNS telah memiliki dua buah bas mobile bergerak yang mana salah satu bas mobile ini dilengkapi dengan teknologi yang canggih, sistem I-JPN dan turut dilengkapi dengan mesin cetakan Mykad dalam bas.
“Bas ini juga dilengkapi dengan bilik kawalan server sendiri, kaunter dan peralatan operasi yang lengkap seperti di pejabat.
“Dokumen seperti Mykad (Mykad12 tahun/Gantian Mykad)/kandungan cip Mykad/cabutan Sijil Lahir/mati boleh dikeluarkan kurang dari 30 minit di lapangan pada hari yang sama,” jelasnya.-EDISI UKAS