154 Terima Darjah Kebesaran Daripada TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak

KHAMIS, 28 OKTOBER 2021

MIRI: Seramai 154 orang menerima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Hotel Mega Miri pada Rabu. 

Mengetuai senarai penerima Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak Datu Lau Hieng Ung yang menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S) yang membawa gelaran Datu.

Turut menerima Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Dato Dr. Madeline Berma Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) yang membawa gelaran Dato. 

Sementara itu, seramai 7 orang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S), yang diketuai Kaunselor Kho Teck Wan manakala bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) menyaksikan seramai 10 penerima yang diketuai Kapten Clarence Ruman.

Manakala, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (P.P.B) pula dianugerahkan kepada 9 penerima dan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) menyaksikan seramai 31 penerima.

Seterusnya, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) dianugerahkan kepada 21 penerima, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (P.P.T) kepada 24 penerima manakala Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pingat Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) menyaksikan 50 penerima. 

Hadir sama Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat.-EDISI UKAS