Program Jualan Terus Dari Ladang & My Rakyat Dilancar Bantu Petani Pasarkan Hasil Tani

KHAMIS, 28 OKTOBER 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melancarkan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan My Rakyat di Canaan Square pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Sarawak memberitahu, program tersebut adalah satu platform bagi membantu para petani memasarkan hasil tanaman mereka menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS).

“Program ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu para petani meringankan beban mereka yang tidak dapat menjual hasil tanaman akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Selain itu, Datuk Amar Douglas menjelaskan bahawa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membantu pihak PPNS memperkasakan sistem pemasaran yang lebih moden dan mengembangkan produk jualan untuk dieksport.

“Jadi kita usahakan melalui FAMA yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia bagi membantu PPNS membina rantaian pemasaran yang bukan sahaja di Sarawak dan Malaysia tetapi juga ke luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FAMA, Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli memaklumkan, program JTDL dan My Rakyat adalah berkonsepkan platform pertemuan antara petani, nelayan dan penternak dengan pengguna pada harga produk yang paling minimum sekaligus memacu ekonomi negara.

Jelasnya, pihak FAMA telah merancang untuk meneruskan program yang sama di seluruh Malaysia bagi memberi peluang kepada para petani melalui pasar tani, pasar tani kekal termasuk agro bazaar kedai rakyat.

“Kita akan membuka cawangan bagi pasar tani, pasar tani kekal termasuk agro bazaar kedai rakyat untuk memberi peluang kepada para petani meningkatkan pendapatan dan pengguna untuk memperolehi bekalan hasil pertanian,” tambah beliau. –EDISI UKAS