KHAMIS, 28 OKTOBER 2021
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukan RM8.002 juta di bawah Bajet Pembangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membiayai 12 projek ekopelancongan di negeri Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek tersebut termasuk projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Lumpur Berbuak di Meritam, Limbang.
“Selain itu diantara 12 projek tersebut juga melibatkan Projek Pembangunan Ekopelancongan di Taman Negara Kuching Wetland (KWNP) di Kuching dan Pembangunan Kemudahan Ekopelancongan di Taman Negara Santubong,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menjelas lebih lanjut Datuk Seri Nancy menambah, menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN), MOTAC juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia dengan kelebihan Malaysia adalah antara 17 buah negara yang dikenali sebagai negara megadiversiti kerana kekayaan dan kepelbagaian flora dan fauna.
Ujarnya, bagi tujuan tersebut, segmen ekopelancongan merupakan fokus utama MOTAC terutamanya dalam merancakkan semula industri pelancongan selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) 2.0 (2020-2030).
“Bagi negeri Sarawak, MOTAC telah mengenalpasti sembilan kluster ekopelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Antaranya adalah Lundu-Sematan-Telok Melano-Tanjung Datu, Bako-Santubong-Kubah-Semenggoh-Bau-Padawan, Sri Aman-Batang Ai-Ulu Sungai Menyang-Maludam, Sibu-Kapit-Tunoh-Baleh-Palagus, Mukah-Daro-Pulau Bruit-Tanjung Manis, Bintulu-Bakun-Belaga-Lusong Laku-Nanga Merit-Murum, Miri-Sibuti-Niah-Loagan Bunut, Limbang-Mulu-Gunung Buda dan Lawas-Bario-Ba’kalalan-Baram,” tambahnya.
Jelasnya, sembilan kluster tersebut merangkumi penglibatan 676 pengusaha inap desa di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia yang berdaftar dengan MOTAC. -EDISI UKAS