AHAD, 31 OKTOBER 2021
SARIKEI : Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh bersama seramai 146 penduduk yang layak dan telah diluluskan untuk menerima Lot Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Sarikei telah menghadiri sesi dialog yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Sabtu.
Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) adalah hak untuk semua rakyat Sarawak dan pendekatan yang diambil bagi perancangan jangka panjang dalam meringankan bebanan rakyat.
Sementara itu, Skim Pembesaran Kampung Sarikei Fasa 2 ini telah diluluskan Majlis Perancangan Negeri pada 17 Oktober 2001 dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dan dilaksanakan bermula tahun 2004 dengan jumlah keseluruhan lot kediaman sebanyak 294 lot disediakan dengan keluasan 23.75 hektar.
Dalam pada itu, Skim Pembesaran Kampung ini dilaksanakan bagi menyediakan tempat kediaman yang selesa, infrastruktur yang baik, penempatan yang tersusun dan terancang kepada penduduk asal.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Abang Porkan Abang Budiman, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Thian Choon Kui dan Pegawai Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Nuredzuan Omar Ali. – EDISI UKAS