1,000 Penjawat Awam Terima Dos Penggalak Di Serian

ISNIN, 1 NOVEMBER 2021

SERIAN: Seramai 1,000 orang penjawat awam pelbagai agensi di bahagian Serian menerima  dos penggalak jenis Pfizer Biontech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Serian pada Isnin.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kesemua penerima yang hadir adalah secara janji temu dan melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut Pegawai Perubatan yang mengetuai PPV Dewan Masyarakat Serian, Dr. Nuraisyah Loh Bojeng, penerima yang layak menerima dos penggalak adalah mereka yang telah menerima dos kedua jenis Sinovac setelah tiga bulan divaksinasi, manakala enam bulan setelah divaksin dos kedua jenis Pfizer.

“Pihak kita tidak akan memberi dos penggalak jika syarat tersebut tidak mencukupi tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Dr. Nuraisyah turut menasihatkan penerima untuk membawa bersama kad vaksinasi dan kad pengenalan bagi memudahkan proses vaksinasi dan memastikan syarat tarikh selepas adalah tepat.

PPV Dewan Masyarakat Serian dibuka seawal 8 pagi hingga 3 petang dan proses vaksinasi berjalan dengan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard  (SOP) yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS