Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Wakili Penjawat Awam Sarawak Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Tan Sri James

ISNIN, 1 NOVEMBER 2021

KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing di kediamannya di Jalan Ong Tian Sew di sini pada Isnin.

Kehadiran beliau telah disambut isteri mendiang, Puan Sri Dato Corrine Masing dan beberapa ahli keluarga lain serta Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Jospeh Salang Gandum. 

Datuk Amar Jaul yang mewakili seluruh penjawat awam negeri Sarawak mengucapkan takziah kepada Puan Sri Dato Corrine Masing dan ahli keluarga di atas pemergian mendiang. 

Beliau dan beberapa tetamu kehormat lain telah menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib yang turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir. 

Mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James, 72, meninggal dunia pada jam 7.05 pagi Ahad di Pusat Pakar Perubatan Normah, Kuching dipercayai akibat komplikasi jantung.-EDISI UKAS