SELASA, 2 NOVEMBER 2021
MERADONG: Dua sekolah pendidikan khas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Stras menerima sumbangan dari Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh isteri kepada ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Datin Kueh Nai Fun kepada sekolah terbabit dalam majlis ringkas pada Isnin.
Datuk Ding yang turut hadir untuk meninjau keadaan kelas Pendidikan Khas SK Nanga Stras yang baharu juga akan cuba menyumbang peralatan mengikut keperluan harian para guru pendidikan khas
Turut disumbang 10 buah meja dan kerusi kepada pelajar pendidikan khas di SK Nanga Stras serta penutup mulut dan pembersih tangan kepada pelajar OKU.
Terdahulu, Datuk Ding meninjau projek menaik taraf jambatan di sekitar Meradong bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) Bahagian Sarikei.
Katanya, masih ada jambatan yang perlu dinaik taraf di kawasan luar bandar kerana ia medium penting untuk para pekebun menjalankan aktiviti harian.
Beliau dalam pada itu amat berterima kasih kepada DID Bahagian Sarikei kerana sentiasa membantu memohon peruntukan di bawah Jalan Perhubungan Desa untuk menaiktaraf jambatan di luar bandar. – EDISI UKAS