Sukan Borneo Kembali Tahun Depan

SELASA, 2 NOVEMBER 2021

KUCHING: Temasya Sukan Borneo yang kali terakhir diadakan pada 2009 dijangka membuat penampilan semula pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menjalin kerjasama erat dengan kedua kementerian itu untuk memastikan atlet antarabangsa bersedia untuk berkumpul dan bertanding dalam kejohanan tersebut.

“Kita akan melihat bagaimana untuk melakukan giliran sebagai tuan rumah sukan itu antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia yang merupakan wilayah dalam Borneo.

“Kita mengadakan perbincangan bersama Sabah di mana jika kita berjaya menjadi tuan rumah Sukan Borneo pada tahun depan atau tahun-tahun berikutnya, kita (Sabah dan Sarawak) mungkin berkongsi beberapa sukan kerana kekurangan fasiliti dan sebagainya.

“Jika kita tidak dapat berkongsi, kita mungkin hadkan acara sukan yang dipertandingkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan logo Sport Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada Isnin.

Sukan Borneo kali pertama dianjurkan di Brunei pada 1954 bukan hanya melibatkan penyertaan negeri dan negara dalam Borneo malah turut membabitkan penglibatan pasukan jemputan dari Semenanjung Malaysia, Filipina dan Papua New Guinea.

Sekali gus, ia akan menjadi platform pendedahan terbaik kepada atlet negeri dalam persiapan Sukan Malaysia atau SUKMA dan kejohanan di peringkat dunia.

Menurut Dato Sri Abdul Karim lagi, penganjuran sukan itu juga menjadi landasan orang luar melawat Sarawak dan menjadikan sektor pelancongan sukan penyumbang kepada pendapatan negeri ini.

Dalam majlis itu, Dato Sri Abdul Karim turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SSC dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk mengangkat sukan negeri ini ke peringkat lebih tinggi.

MoU itu juga menyediakan laluan pendidikan kepada atlet di bawah Program Pembangunan Sarawak untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Selain itu, kolaborasi itu juga meningkatkan jumlah pusta pembangunan sukan melibatkan institusi pengajian tinggi di Sarawak termasuk Unimas sebagai pusat inovasi dan penyelidikan sukan.

SSC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ong Kong Swee manakala Unimas diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi. – EDISI UKAS