RABU, 3 NOVEMBER 2021
MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew telah mengadakan tinjauan ke tiga Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau bersama Presiden Persatuan India Miri Kaunselor Karambir Singh Honey, Penghulu Leonard dan Chia Kah Furng telah meninjau tapak Projek Perkuburan Orang India Miri di Morsjaya Miri.
Projek Naik Taraf Perkuburan Orang India Miri menelan kos sebanyak RM120,000 merupakan Projek RTP 2021 DUN Piasau meliputi kerja-kerja penambahbaikan seperti menyediakan pagar yang lebih kukuh dan dijangka siap pada 13 November 2021.
Selepas itu, beliau meninjau satu lagi Projek RTP Naik Taraf Taman Rekreasi Interhill untuk melihat hasil projek penambahbaikan yang sedang dilaksanakan.
Katanya, taman tersebut boleh digunakan sebagai hab orang ramai untuk berjoging, bersenam dan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka.
“Kita semua mesti bekerjasama untuk memastikan taman rekreasi dan ruang awam diselenggara dengan baik supaya dapat menjadi tempat masyarakat dapat berkumpul dan menjadikan perpaduan kita lebih kuat,” katanya.
Turut ditinjau Projek Naik Taraf Taman Rekreasi Ocean Park bagi melihat hasil akhir kerja-kerja pemasangan dan naik taraf peralatan senaman.
Ujarnya, apabila kerja-kerja naik taraf taman ini siap akan memberi manfaat kepada masyarakat dengan menikmati aktiviti berjalan kaki pada waktu petang dan sekaligus mengekalkan kesihatan sambil menikmati alam semula jadi.
“Saya berharap taman yang telah dinaik taraf ini akan terus menyediakan kondisi yang selamat kepada masyarakat sekitar dalam usaha mereka untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat,” ujarnya ketika mengakhiri temu bual.-EDISI UKAS