Kestabilan Politik Faktor Peningkatan Pembangunan Di Beting Maro

RABU, 3 NOVEMBER 2021

PUSA: Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan Sarawak bagi membangunkan infrastruktur, kemudahan dan pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Ghapor berkata Kerajaan Sarawak sangat prihatin dengan permasalahan penduduk di luar bandar dan kini banyak pembangunan telah dikecapi khususnya di Beting Maro.

“Dengan usaha Kerajaan Sarawak, pelbagai projek yang dilaksanakan terutamanya projek rumah rakyat, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Saribas.

“Selain itu, penduduk bakal menikmati kemudahan Dewan Masyarakat Pusa yang bernilai RM4.5 juta serta peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menaiktaraf jalan belakang Kampung Pusa.

“Kini, SK Kalok Baharu dalam proses pembinaan dan dengan siapnya sekolah itu nanti ianya memberi keselesaan kepada anak-anak di Kalok,” katanya semasa menghadiri perjumpaan ranting di Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Pusa pada Rabu.

Tambahnya, sebanyak RM300,000 juga diperuntukan bagi program kebajikan Beting Maro dari segi aspek pendidikan, kematian dan bantuan untuk pesakit ke hospital dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada semua ranting di situ untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau juga berpesan kepada semua agar sentiasa menguatkan silaturahim serta mengelak ketidaksefahaman dan menjaga parti PBB, GPS demi untuk kestabilan politik untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030. – EDISI UKAS