Lawas Akan Mempunyai Kemudahan Kesihatan Yang Baik Pada Masa Akan Datang – Datuk Amar Awang Tengah

RABU, 3 NOVEMBER 2021

LAWAS: Ketika ini kemudahan kesihatan yang ada di Daerah Lawas ini adalah terhad. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ada di antara kemudahan-kemudahan kesihatan ini yang sedang dalam pembinaan dan ada yang masih dalam perancangan. 

“Kita di Lawas ini akan mendapat kemudahan-kemudahan kesihatan yang lebih baik pada masa akan datang termasuklah sebuah hospital baru. 

“Pada masa ini kita menghadapi kekurangan kemudahan kesihatan namun kakitangan hospital telah berusaha sebaik yang mungkin,” katanya semasa berucap dalam Program SABATI Ooutreach Bersama Hospital Lawas di Klinik Kesihatan Daerah Lawas pada Ahad. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menzahirkan rasa cukup bangga terhadap petugas barisan hadapan di Limbang dan Lawas dalam menjayakan Program Imuniti COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini. 

“Saya cukup bangga dengan komitmen petugas barisan hadapan kita di Limbang dan Lawas ini yang telah bekerja keras menjayakan program vaksinasi dan memberi kesedaran kepada masyarakat.  

“Vaksin ini penting untuk mempertahankan diri kita daripada jangkitan COVID-19. 

“Saya berharap agar masyarakat kita akan sentiasa berwaspada untuk mengekang penularan COVID-19 ini,” ujarnya. 

Terdahulu, isteri Timbalan Ketua Menteri yang mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Dayang Morliah Datuk Awang Daud dalam ucapan aluannya memberitahu SABATI akan terus menghulurkan bantuan kepada hospital dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan. 

“Pada tahun ini semasa wabak pandemik COVID-19, Hospital Lawas banyak memerlukan bantuan sama ada peralatan perubatan dan tenaga kerja. 

“SABATI telah menyumbangkan peralatan kesihatan seperti mesin dialisis dan mesin-mesin lain yang dianggarkan berjumlah RM100,000 untuk keperluan rakyat di Lawas ini. 

“Kita berharap SABATI akan terus sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan dan mana-mana pertubuhan korporat, NGO dan lain-lain. 

Pada majlis itu, SABATI telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 dan penghawa dingin kepada Hospital Lawas. 

Turut sama hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Palu@Paulus Gumbang, ADUN Batu Danau, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pengarah Hospital Daerah Lawas Dr Ahmad Syahir. -EDISI UKAS