Pemberian Vaksin Penggalak Di Dewan Masyarakat Medamit Dapat Sambutan Menggalakkan

RABU, 3 NOVEMBER 2021

LIMBANG: Program Vaksinasi dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Medamit, Limbang  pada Isnin telah mendapat sambutan menggalakkan. 

Lebih 900 orang penduduk kampung berhampiran Medamit telah hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak. 

Program yang bermula pada 30 dan 31 Oktober itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan hingga menyebabkan Pejabat Kesihatan Limbang terpaksa melanjutkan tempoh pemberian vaksin dos penggalak sehingga 1 November 2021.

Menurut Ketua PPV Dewan Masyarakat Medamit, pemberian vaksin dos penggalak ini diberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan beliau yang berpenyakit. 

“Ini selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan keutamaan kepada golongan barisan hadapan, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit sebelum diperluaskan kepada orang awam,” katanya. -EDISI UKAS