PIBG SK Ulu Melipis, JKKK Rumah Panjang Sungai Melipis Gotong-Royong Bersihkan Jeti

RABU, 3 NOVEMBER 2021

KAPIT: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melipis dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Sungai Melipis telah mengadakan gotong-royong membersih Jeti Nanga Melipis Batang Rejang Kapit pada Selasa.

Ia bagi membersihkan kelodak yang menghalang laluan pejalan kaki dan kenderaan penduduk yang menggunakan jeti berkenaan yang menjadi laluan utama bagi penduduk rumah panjang di sekitar kawasan Melipis dan juga SK Ulu Melipis.

Untuk jangka masa panjang, pihak JKKK, PIBG serta sekolah memohon bantuan mesin pengepam air untuk mencuci kelodak di laluan jeti berkenaan pada masa akan datang.

Ini kerana kelodak di laluan berkenaan akan berulang setiap kali paras air naik dan kemudian akan timbul bila paras air turun.

Pada masa sama, penduduk dan sekolah di kawasan itu turut menghadapi masalah talian telefon yang kurang baik dan stabil meskipun banyak tiang didirikan.

Situasi ini menyukarkan penduduk untuk berurusan dengan pihak luar terutama ketika ada urusan penting dan segera.

Selain itu, ia juga memberikan kesan kepada sekolah di mana kelas PDPR sukar untuk diadakan kerana talian internet yang kurang baik. – EDISI UKAS