PRN Sarawak: KKM, SPR Akan Putuskan SOP – Datuk Amar Douglas

KHAMIS, 4 NOVEMBER 2021

SPAOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutus dan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui media selepas merasmikan bengkel kepolisan komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh pada Khamis berkata kedua-dua badan itu akan mempunyai mekanisme untuk SOP dilaksanakan dan dipatuhi semasa tempoh berkempen dan membuang undi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu menambah, jawatankuasanya mungkin dijemput untuk memberi input sendiri.

Dalam pada itu, bercakap mengenai penamatan Proklamasi Darurat, beliau berkata ia adalah bagi mempercepatkan laluan bagi Sarawak menjalankan PRN-12 yang tertangguh dan ini bermakna Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan.

Sementara itu bercakap mengenai vaksinasi COVID-19, beliau berkata JPBN Sarawak akan memastikan pemberian vaksin COVID-19 dan pemberian dos penggalak akan diteruskan tanpa gangguan semasa pilihan raya.

“Adalah sangat penting kedua-duanya akan berjalan seperti biasa kerana kami mahu menyelamatkan nyawa.

“Bagi dos penggalak, sasaran kami mulai bulan ini adalah untuk memberikan sebanyak 50,000 dos,”katanya.

Sementara itu, semasa berucap dalam majlis berkenaan, Datuk Amar Douglas Uggah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak leka dengan penurunan kes positif COVID-19 pada masa ini.

“Kita mesti terus menumpukan perhatian kerana sebarang kecuaian atau kelalaian, ia boleh mencetuskan peningkatan mendadak.

“Kita mesti belajar untuk hidup dengan virus yang tidak akan hilang begitu sahaja,”ujarnya.-EDISI UKAS