SABTU, 6 NOVEMBER 2021
LIMBANG: Konsep ‘Keluarga Malaysia’ mula diperkenalkan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada Ogos 2021.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah, konsep Keluarga Malaysia boleh diibaratkan sebuah institusi keluarga yang sentiasa memelihara perpaduan, keharmonian dan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga.
“Kita ingin melihat perpaduan, keharmonian dan kasih sayang yang terjalin antara rakyat merupakan hasrat serta aspirasi pemimpin negara sebagaimana dalam sesebuah keluarga.
“Dalam konteks Keluarga Malaysia, keamanan, perpaduan dan keharmonian kaum yang telah diamalkan sejak sekian lama perlu dikekalkan dan diteruskan dengan sikap persefahaman dan toleransi,” katanya semasa berucap dalam Seminar Pemantapan Keluarga Malaysia (Masyarakat Iban DUN Batu Danau) di Dewan Kampung Bidang, Limbang pada Jumaat.
Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang turut meminta pemimpin terutamanya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menjalankan tugas dan peranan dengan amanah serta mengingatkan masyarakat untuk tidak terus mempercayai berita yang tidak benar.
“Pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan termasuk KMKK digesa untuk terus menjalankan tugas dengan penuh amanah.
“Mereka ini sering dilimparkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah untuk menjatuhkan mereka.
“Justeru, masyarakat diminta untuk tidak terus terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan khususnya melalui media sosial kerana ia akan merosakkan perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Turut sama hadir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Paku Gumbang, Ketua Masyarakat Iban Temenggong Willie Marum Liaw dan Ketua Masyarakat Bisaya Pemanca Jun Silah.-EDISI UKAS