SABTU, 6 NOVEMBER 2021
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan kira-kira RM657 juta bagi membangunkan projek-projek di kawasan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek yang telah diluluskan itu akan memberi kesan yang amat positif kepada masyarakat di kawasan persisiran.
“Projek yang telah saya luluskan akan memberi kesan yang amat positif kepada masyarakat di kawasan persisiran ini iaitu projek benteng untuk mengelak air masin masuk ke kawasan pertanian.
“Kerajaan melulus peruntukan kira kira RM657 juta untuk kita membangunkan benteng di seluruh kawasan ini termasuk daripada Asajaya hingga ke Sebuyau dan Sebangan.
“Ini akan akan memberikan kesan dari sudut pembangunan pertanian dan jalan di kawasan ini,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat pembangunan oleh agensi di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau dalam lawatan kerja ke Sebuyau pada Sabtu.
Ujar Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, kawasan di situ akan membangun cepat dengan adanya pembangunan infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan di seluruh kawasan IRSDA.
Selain itu katanya, aspek pembangunan sosioekonomi juga akan meningkat dengan adanya skim perumahan yang dibangunkan nanti.
Ketua Menteri menambah, beliau juga telah meluluskan skim perumahan di kawasan Sungai Ladong yang akan memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menambah, pembangunan pertanian dan pelancongan dijangka akan membangun di kawasan tersebut apabila siapnya pembinaan jambatan Batang Lupar dan benteng yang sedang dalam pelaksanaan yang diyakini siap lima tahun akan datang.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi; Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.-EDISI UKAS